Tuesday, June 24, 2008

Kepentingan Pendidikan Moral

Kurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang. Penyemakan kurikulum bertujuan memantapkan Akta Pendidikan, memenuhi semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan menyediakan murid menghadapi cabaran pendidikan pada abad 21. Kurikulum yang disemak semula memberi penekanan kepada nilai murni dan semangat patriotik bagi menyedarkan murid akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara maju dan masyarakat berilmu. Murid dididik untuk berfikir, berilmu pengetahuan luas, bertataetika tinggi, bijaksana, serta dapat menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara berkesan. Diharapkan kurikulum ini dapat melahirkan murid yang berkeyakinan dan tabah mengatasi segala rintangan dan cabaran dalam kehidupan. Pendidikan Moral ialah mata pelajaran teras untuk murid bukan beragama Islam di peringkat sekolah rendah dan Menengah. Mata pelajaran ini yang memberi tumpuan pada pemupukan, penghayatan dan amalan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia bertujuan melahirkan murid yang berilmu pengetahuan, berperibadi mulia, serta rela dan sanggup berbakti kepada masyarakat dan negara. Kandungan Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Menengah merangkumi aspek diri, keluarga, masyarakat, alam sekitar dan negara.